Saturday, December 18, 2010

Pakaian ahli syurga adalah menutup aurat...

2009/12/30

HARI ini nak pakai baju mana ya? Ini soalan yang kita biasa tanya diri kita jika nak keluar bekerja, membeli-belah, menziarahi seseorang dan majlis tertentu, sama ada lelaki atau perempuan, remaja atau yang berusia.

Biasanya kita memilih pakaian yang paling kita suka. Dalam Islam ketika memilih pakaian, kita ada identiti tersendiri.

Semuanya kena ambil kira, soal fiqah dan syariat. Sebab pakaian yang kita pakai sangat kuat terikat dengan keyakinan dan iman dalam hati kita. Malah, pakaian adalah lambang keimanan.

Sebabnya Allah sudah berfirman dalam al-Quran yang bermaksud: "Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan beriman supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar) cara demikian lebih sesuai untuk mereka dikenali (sebagai perempuan yang baik) maka dengan ini mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihi." (al-Ahzab: 59)

Rupanya soal pakaian ada disebut kod dan etikanya dan panduan ini mesti diikuti semua Muslimah.

Berpakaian tak boleh ikut suka kita saja sebab kita hamba Tuhan. Sebagai hamba kena ikut tauke dan kalau tidak ikut juga dah kira lawan tauke.

Kali ini saya ingin menyentuh mengenai pakaian remaja yang nampaknya sudah tidak mengikut kod dan etika al-Quran.

Adik-adik remaja di luar sana sudah tidak menghiraukan lagi halal haram dalam pemakaian, asalkan mereka nampak bergaya, menarik, selesa 'kononnya' dan mengikut gaya fesyen terkini.

Selain pakaian yang jelas menjolok mata, ramai juga di kalangan remaja kita yang berpakaian '2H' iaitu 'Halal' tetapi 'Haram'.

Ini amat ketara jika kita perhatikan di sekeliling kita, ramai remaja yang bertudung. Apabila sekali lihat, memang nampak mereka menutup aurat.

Bagaimanapun, jika diperhatikan, ramai di kalangan mereka yang berpakaian ketat dan tidak kurang yang berlengan pendek. Pakaian lengan 'three quarter' (tiga perempat) paling glamor dan popular di kalangan remaja bertudung.

Suatu ketika dahulu, pakaian sedemikian begitu mengaibkan dan memalukan, namun kini seolah-olah ia menjadi pakaian yang dialu-alukan.

Mana tidaknya, pakaian sedemikian banyak bersangkutan dan berampaian di gedung pakaian di negara kita ini. Pelbagai fesyen baru hadir bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Terdapat juga pakaian bersaiz kecil sehingga tidak keterlaluan jika kita katakan sekarang begitu sukar untuk membezakan antara pakaian kanak-kanak dan remaja.

Sebilangan daripada remaja kita juga lupa atau tidak tahu jantina mereka sendiri sehingga si lelaki memakai pakaian perempuan, sementara perempuan pula sebaliknya.

Ustaz harap adik-adik remaja berhentilah daripada kebiasaan ini kerana dilaknat Allah. Ini jelas dinyatakan dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

"Sesungguhnya Allah melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki."

Ada pula yang berkata: "Berpakaian menutup aurat dan bertudung, nanti tak cantik." Siapa kata tak cantik kalau bertudung, bahkan kelihatan manis, beradab, bersih dan ada gaya tersendiri, sekali gus membezakan antara Muslimah dan bukan Islam.

Ada pula yang berkata, rambut adalah 'mahkota', jadi kenalah tunjuk. Kata-kata itu sangat tidak betul kerana jika rambut mahkota, kenalah simpan baik-baik.

Mengapa kena simpan? Ini kerana raja dan permaisuri pun hanya pakai mahkota di tempat tertentu saja, tak dibawanya ke pasar, kelab malam, padang dan lain-lain tempat, malah di tempat tertentu dan orang tertentu sahaja.

Tunjuklah mahkota itu pada suami tercinta sahaja, bukannya dikongsi dengan orang lain.

Ada pula yang berkata 'ikut fesyen moden dengan seksi dan terdedah senang pikat lelaki dan dapat kekasih.'

Aduhai remaja, jangan rendahkan martabat kita sebab bimbang nanti lelaki akan mempermainkan anda. Kerap berlaku kes 'dapat manis sepah dibuang' iaitu jadi bahan seronok saja.

Kalau dapat kahwin pun tak lama putus di tengah jalan. Rumah tangga dibina akhirnya tinggal tangga sahaja. Ingatlah, pakaian ahli syurga ialah menutup aurat

hak aku dalam hidup!

Tidak aku pinta semua itu…

Dalam dunia ini memang aku mahukan sesuatu yang terbaik untuk aku. Namun, aku sedar yang terbaik untuk aku yang aku cari selama ini, tak akan selamanya baik untuk aku kerana Allah telah takdirkan sesuatu yang lebih baik untukku.

Ramai orang inginkan rupa paras yang cantik,bergaya,rumah yang besar, kereta yang mewah, harta yang bertimbun, suami / isteri yang sempurna, sesempurna manusia. Tapi, perlu aku ingat bahawa tiada seorang manusia pun yang sempurna di buka bumi ini melainkan pencipta-Nya sahaja yang tahu siapa yang paling sempurna pada pandangan mata-Nya sahaja.

Aku?
Aku yang membaca tulisan ini juga memang tidak dilahirkan sempurna. Aku memang dilahirkan dalam kekurangan yang banyak. Tapi, aku selindungkan kelemahan yang aku miliki dengan terus meminta pada penciptaku agar dianugerahkan cinta-Nya supaya kelemahan yang aku miliki dirasakan terlalu istimewa. Bukankah aku sememangnya telah istimewa sejak dituliskan dari azali bahawa aku memang dilahirkan sebaik-baik kejadian? Jadi, mengapa mesti aku mengeluh berkeluh-kesah atas setiap kekurangan yang aku miliki? Alhamdulillah…inilah aku yang sedang membaca tulisan ini…


Tidak aku pinta untuk perfect cukuplah sempurna….

Jika aku ingin melihat dari kekurangan,memang aku terlalu banyak kurangnya.Mengapa tidak aku melihat pada kelebihan yang aku miliki? Sesuatu yang tidak ada pada orang lain dan sesuatu itu berada padaku itulah yang dikatakan keistimewaan yang aku miliki. Jika aku mengatakan rupaku tidak indah,hidungku kemek,mataku sepet tidak bulat,bibirku begini dan begitu,aku pendek, gemuk dan penuh keluhan aku lontarkan hanya pada diri aku sendiri bila aku berada di depan cermin…Tak malukah aku mengutuk orang yang sama berada di dalam cermin itu…Ya itu aku yang dikutuk!

Aku marah bila orang lain mengutuk aku, tapi diri aku sendiri tak pernah marah bila aku mengutuk diri aku sendiri. “Kelebihan” yang aku rasakan kekurangan itulah sebenarnya penyelamat aku nanti bila di sana kelak.

Bila aku tak cantik dan tak setampan mana mesti tiada siapa yang ingin mendekati aku secara tidah sah, maka aku bersyukur kerana aku bebas dari cengkaman maksiat yang kian mengheret semua mangsa baru ke lembah penzinaan. Dengan itu, aku akan lebih mendekatkan diri aku dengan Yang Maha Pencinta yang lebih memahami aku dari ‘dia’. Aku juga lebih relaks untuk berfikir siapa yang lebih layak mendekati aku. Biarlah aku tidak tahu, dan aku memang tidak perlu tahu pun. Sebab semua itu telah tertulis untuk aku. Jadi, mengapa aku perlu mengeluh? Sabar adalah jawapan paling tepat dalam hidup aku.Aku bebas dari cengkaman cemburu orang lain terhadapku. Manusia tidak perlu cemburu bersaing untuk dapatkan aku. Kerana, mereka inginkan aku hanya kerana aku dikatakan ‘cantik’@ ‘handsome/macho’, kelak pabila suatu hari nanti aku tidak lagi cantik @ handsome mesti aku akan ditinggalkan… Bukan aku berdoa, tapi bukankah itu reality dunia hari ini yang menjadikan mentality aku juga begitu? Pada aku sajalah jawapan itu ada…


Aku juga tidak inginkan sesuatu yang mewah.Cukuplah sempurna. Andai aku ada rumah yang besar dan indah namun, di sebalik keindahan itu, tersimpan sejuta kepahitan dan kesukaran lebih baik aku buang jauh impian itu… Rumah mewah itu tidak indah jika tiada suara keluarga yang sentiasa merangkul erat tali persaudaraan aku dan mereka. Andai aku cuma ada rumah kosong,perabot yang tidak seindah mana dan ruang sempit menghimpit kehidupanku, aku terlalu gembira kerana di dalamnya penuh dengan keriangan dan gelak tawa aku dan mereka semua. Di rumah yang kecil dan usang itu, setiap ahli keluargaku mendengar alunan ayat Al-Quran yang aku baca,agar semuanya mendapat manfaat bersama, kami saling makan hanya di dalam satu ruang dan di situ walaupun rezeki keluarga aku Cuma sedikit, dan aku saling berebut rezeki itu aku tetap juga bersyukur. Kerana hikmahnya aku dapat mengeratkan hubungan antara aku dan ahli keluarga yang lain. Interaksi berlaku antara kami,menjadikan aku dan semuanya saling mengingati antara satu sama lain. Indahnya nikmat ‘kekurangan’ yang aku rasakan sebagai satu ‘kelebihan’ yang tidak orang lain rasa selain aku.

Aku juga bayangkan, bila aku di rumah yang besar dan mewah, masing-masing punyai ruang sendiri, segala kelengkapan sendiri, dan punya rezeki yang cukup, mesti masing-masing akan lakukan hal sendiri.Sampailah besar, tiada ikatan dan rasa sayang antara mereka sehingga mereka cemburu melihat aku dan keluargaku… Bukankah manusia perlu ruang kasih sayang dalam himpitan hati mereka?
Aku pasti ada antara kita yang tinggal di rumah besar dan punya kereta mewah merasa kekurangan di sebalik kelebihan yang mereka ada kan? Jadi bersyukurlah, walaupun kita tiada kereta mewah dan rumah besar. Bukankah kita juga masih ada mereka yang kita sayang di rumah kecil kita itu yang sentiasa mendoakan dan merindui kita berbanding urusan kerja mereka?

Tidak aku pinta andai hidupku penuh derita…Namun, jika itu terbaik untukku maka aku redha…

bukan hak aku untuk memilih kehidupan, tapi kehidupan memberikan aku hak untuk terus hidup!

Followers