Air Terbahagi Kepada Empat Bahagian:
1) Suci lagi menyucikan
2) Suci lagi menyucikan tetapi makruh
3) Suci tetapi tidak menyucikan
4) Bernajis
1) Air yang suci lagi menyucikan
Air yang suci lagi menyucikan ialah air mutlak yang kekal dengan sifat kejadiannya yang telah dijadikannya oleh Allah Taala. Air tersebut masih dikatakan air mutlak, walaupun ia sudah berubah dengan sebab lama di tinggal, atau disebabkan tanah, atau tuhlub (sejenis benda hijau yang terapung di atas air disebabkan lama tinggal di dalamnya-kiambang), atau bekas atau tempat mengalir seperti ia berada dalam tanah yang mempunyai belerang atau ia mengalir di atas tanah tersebut, semuanya ini tetap dikatakan air mutlak. Ini kerana air tersebut sukar untuk dielakkan daripada perkara-perkara tersebut.
Dalil yang menunjukkan kesucian air mutlak ialah hadis riwayat AlBukhari dan lainnya daripada Abi Hurairah r.a. katanya:
Seorang Badwi telah berdiri lalu kencing dalam masjid. Kemudian para sahabat pergi untuk menghalangnya, lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Biarkan dia, dan tuangkan di atas air kencingnya sebaldi air, sesungguhnya kamu dibangkitkan untuk mempermudahkan dan bukan menyusahkan.
Perintah Rasulullah s.a.w supaya menuangkan air ke tempat air kencing tersebut adalah dalil yang menunjukkan bahawa air tersebut mempunyai ciri atau sifat menyucikan.
2) Air yang suci dan menyucikan tetapi hukumnya makruh.
Air yang suci dan menyucikan tetapi hukumnya makruh ialah air musyammas. Ia adalah air yang panas disebabkan cahaya matahari dan dihukum makruh apabila memenuhi tiga syarat berikut:
i) la berlaku di negeri yang panas.
ii) Ia diletakkan di dalam bekas yang ditempa daripada selain emas dan perak seperti besi, tembaga dan semua galian yang boleh ditempa (berkarat)
iii) Ia digunakan pada badan manusia walaupun badan mayat, atau pada haiwan yang boleh menyebabkannya ditimpa penyakit sopak seperti kuda.
Imam Syafi'e r.a. meriwayatkan daripada Umar r.a.:
Bahawa beliau (Umar) tidak suka mandi dengan air tersebut dan dia berkata:
Aku tidak suka mandi dengan air tersebut disebabkan masalah kesihatan, kemudian Imam Syafi'e meriwayatkan bahawa air tersebut boleh menyebabkan penyakit sopak.
Ini kerana ketajaman cahaya matahari boleh menimbulkan keadaan berlemin (benda yang seperti minyak) busuk yang terapung di atas air. Sekiranya ia terkena pada badan dalam keadaan air tersebut panas, maka ia boleh memudaratkan badan dan menyebabkan penyakit sopak (sejenis penyakit kulit).
3) Air yang suci tetapi tidak menyucikan.
Air yang suci tetapi tidak menyucikan terbahagi kepada dua bahagian:
Pertama:
Air yang sedikit yang telah digunakan untuk taharah yang wajib, seperti mandi wajib dan wudhuk.
Dalil ianya suci adalah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim daripada Jabir bin Abdullah r.a. katanya:
Rasulullah s.a.w datang menziarahiku untuk bertanyakan keadaanku. Ketika itu aku sakit dan tidak sedar. Lalu Baginda berwudhuk dan mencurahkan air wudhuknya ke atas aku.
Sekiranya air wudhuk tersebut tidak suci, nescaya Baginda tidak akan mencurahkannya ke atas Jabir.
Dalil ia tidak menyucikan ialah sebagaimana yang diriwayatkan oleh
Muslim daripada Abi Hurairah r.a. bahawa Nabi s.a.w bersabda:
Janganlah seseorang kamu mandi dalam air yang bertakung-iaitu air tenang yang tidak bergerak, sedangkan dia berjunub. Lalu para sahabat bertanya kepada Abi Hurairah: Wahai Abu Hurairah, bagaimana ia hendak dilakukan (mandi dengan air tersebut)? Jawab Abu Hurairah: Ia menyelam dalamnya dengan satu selaman (sekaligus).
Hukum berwudhuk adalah sama dengan hukum mandi kerana kedua-duanya mengandungi maknanya yang sama iaitu mengangkat hadas.
Hadis ini menunjukkan bahawa mandi dalam air tersebut menjadikan ia tidak menyucikan lagi. Sekiranya ia tidak memberi makna tersebut, nescaya Rasulullah s.a.w tidak melarang daripada berbuat demikian. Hadis ini difahami untuk air yang sedikit berdasarkan dalil-dalil yang lain.
Kedua:
Air mutlak yang bercampur dengan sesuatu yang suci yang kebiasaannya air tersebut tidak berhajat kepadanya dan ia tidak boleh dipisahkan setelah bercampur, kemudian ia berubah dengan suatu perubahan yang tidak lagi dipanggil dengan air mutlak, seperti air teh dan air 'arqasus.
Tetapi jika benda suci yang bercampur dengan air tersebut menyerupai air pada sifat-sifatnya (rasa, bau dan warna) seperti air bunga mawar yang sudah hilang sifat-sifatnya, maka ketika itu ;air bunga mawar itu hendaklah diganti dengan bahan lain yang mempunyai sifat berlainan yang sederhana; iaitu digunakan perahan delima untuk menentukan perubahan rasa, perahan tebu bagi menentukan perubahan warna dan al-lazan bagi menentukan perubahan bau.
Sekiranya ditakdirkan berlaku perubahan disebabkan percampuran tersebut, maka ia menjadi air yang suci tetapi tidak menyucikan lagi. Ia tidak menyucikan kerana ketika itu ia tidak lagi dinamakan sebagai air mutlak. Sedangkan syarak mensyaratkan supaya air yang dibuat bersuci adalah air mutlak.
4) Air Mutanajjis
Air Mutanajjis ialah air yang terjatuh najis ke dalamnya. la terbahagi kepada dua bahagian:
Pertama:
Air yang sedikit iaitu kurang dari dua kolah.
Air ini menjadi najis dengan hanya terjatuh najis ke dalamnya walaupun sedikit dan tidak berubah sifat-sifatnya dari segi warna, bau dan rasa. Ukuran dua kolah ialah: 500 kati Baghdadi air dan ia menyamai 192.875 kg. la juga menyamai 1 1/4 hasta empat persegi tinggi, lebar dan dalam.
Abu Daud, At-Tirmidzi, An-Nasa'ie, Ibnu Majah dan Imam Ahmad meriwayatkan daripada Abdullah bin Umar r.a. katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w ditanya tentang air yang terdapat di padang pasir yang luas dan didatangi oleh binatang buas dan haiwan melata.
Baginda s.a.w menjawab:
Jika air tersebut sebanyak dua kolah ia tidak menanggung kekotoran.
Menurut lafaz hadis disisi Abu Daud :
Maka air itu tidak menjadi najis.
Difahami daripada hadis ini, sekiranya air kurang dari dua kolah, maka ia menjadi najis sekalipun tidak berubah sifat-sifatnya. Kefahaman ini dikuatkan oleh hadis yang diriwayatkan oleh Muslim daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi s.a.w bersabda:
Apabila seseorang kamu bangun dari tidurnya, maka janganlah dia menyelamkan (menyelup) tangannya dalam sesuatu bekas, sehinggalah dia membasuh tangannya dahulu sebanyak tiga kali. Sesungguhnya dia tidak mengetahui di manakah tangannya bermalam (diletakkan).
Dalam hadis tersebut Rasulullah s.a.w melarang orang yang bangun dari tidur mencelupkan tangannya ke dalam bekas air kerana dibimbangi tangannya dicemari najis yang tidak kelihatan. Sudah sedia maklum bahawa najis yang tidak kelihatan tidak akan mengubah (keadaan) air. Oleh itu, sekiranya tindakan tersebut tidak menajiskan air disebabkan menyentuhnya, nescaya Rasulullah s.a.w tidak melarang daripada berbuat demikian.
Kedua:
Air yang banyak iaitu air yang sampai dua kolah atau lebih. Air ini tidak menjadi najis dengan hanya semata-mata terjatuh atau tersentuh najis tetapi ia menjadi najis apabila berubah salah satu sifatnya iaitu warna, rasa atau bau.
Dalilnya ialah ijmak para ulama'
Imam Nawawi r.a. menyebut dalam kitabnya Al-Majmuk :
Ibnu Munzir berkata:
Ulama' telah bersepakat bahawa air yang sedikit atau banyak, apabila jatuh ke dalamnya najis dan berubah rasa atau warna atau bau, maka air itu menjadi najis.
Air yang Boleh Digunakan Untuk Bersuci
Bukan kesemua jenis air ini boleh dibuat bersuci iaitu mengangkat hadas kecil atau besar dan menghilangkan najis. Air yang boleh dibuat bersuci hanyalah dari jenis yang pertama (air mutlak) dan kedua (air musyammas) sahaja. Tetapi air yang kedua ini makruh digunakan pada badan.
Manakala air jenis yang ketiga, ia tidak boleh digunakan untuk bersuci sekalipun ia sendiri adalah suci. la hanya boleh digunakan untuk tujuan selain bersuci seperti minum, memasak dan lain-lain.
Air jenis yang keempat pula, ia adalah air yang najis. Ia tidak boleh digunakan untuk apa-apa kegunaan pun.
Dari Fiqah Sunnah Syed Sabiq
THAHARAH (BERSUCI) AIR DAN MACAM-MACAMNYA:
MACAM PERTAMA : AIR MUTLAK
Hukumnya ialah bahwa ia suci lagi menyucikan, artinya bahwa ia suci pada dirinya dan menyucikan bagi lainnya. Di dalamnya termasuk macam-macam air berikut:
1. Air hujan, salju atau es, dan air embun, berdasarkan firman Allah Ta'ala:
"Dan diturunkan-Nya padamu hujan dari langit buat menyucikanmu. " (Al-Anfal : 11)
Dan firman-Nya:
"Dan Kami turunkan dari langit air yang suci lagi mensucikan. "(Al-Furqan : 4
Juga berdasarkan hadits Abu Hurairah r.a. katanya :
Adalah Rasulullah saw. bila membaca takbir di dalam sembahyang diam sejenak sebelum membaca Al-Fatihah, maka saya tanyakan: Demi kedua orang-tuaku wahai Rasulullah! Apakah kiranya yang Anda baca ketika berdiamkan diri di antara takbir dengan membaca Al-Fatihah? Rasulullah pun menjawab:
Saya membaca:
"Ya Allah, jauhkanlah daku dari dosa-dosaku sebagaimana Engkau menjauhkan Timur dari Barat. Ya Allah bersihkanlah daku sebagaimana dibersihkannya kain yang putih dari kotoran. Ya Allah, sucikanlah daku dari kesalahan-kesalahanku dengan salju, air dan embun. "
(H.R. Jama'ah kecuali Turmudzi)
2. Air laut, berdasarkan hadits Abu Hurairah r.a. katanya: Seorang laki-laki menanyakan kepada Rasulullah, katanya: Ya Rasulullah, kami biasa berlayar di lautan dan hanya membawa air sedikit. Jika kami pakai air itu untuk berwudhuk, akibatnya kami akan kehausan, maka bolehkah, kami berwudhuk dengan air laut? Berkatalah Rasulullah saw.:
"Laut itu airnya suci lagi mensucikan dan bangkainya halal dimakan. "(Diriwayatkan oleh Yang Berlima)
Berkata Turmudzi : Hadits ini hasan lagi shahih, dan ketika kutanyakan kepada Muhammad bin Ismail al Bukhari tentang hadits ini, jawabnya ialah : Hadits itu shahih.
3. Air telaga, karena apa yang diriwayatkan dari Ali r.a. Artinya bahwa Rasulullah saw. meminta seember penuh dari air zamzam, lalu diminumnya sedikit dan dipakainya buat berwudhuk." (H.r. Ahmad)
4. Air yang berobah disebabkan lama tergenang atau tidak mengalir, atau disebabkan bercampur dengan apa yang menurut galibnya tak terpisah dari air seperti kiambang dan daun-daun kayu, maka menurut kesepakatan ulama, air itu tetap termasuk air mutlak. Alasan mengenai air semacam ini ialah bahwa setiap air yang dapat disebut air secara mutlak tanpa kait, boleh dipakai untuk bersuci. Firman Allah Ta'ala:
"Jika kamu tiada memperoleh air, maka bertayammumlah kamu!"(Al-Maidah : 6)
MACAM KEDUA: AIR MUSTA`MAL,-YANG TERPAKAI
Yaitu air yang telah terpisah dari anggota-anggota orang yang berwudhuk dan mandi.
Hukumnya suci lagi menyucikan sebagai halnya air mutlak tanpa berbeda sedikit pun. Hal itu ialah mengingat asalnya yang suci, sedang tiada dijumpai suatu alasan pun yang mengeluarkannya dari kesucian itu.
Juga karena hadits Rubaiyi' binti Mu'awwidz sewaktu menerangkan cara wudhuk Rasulullah saw. katanya :
"Dan disapunya kepalanya dengan sisa wudhuk yang terdapat pada kedua tangannya."
Juga dari Abu Hurairah r.a,, bahwa Nabi saw. berjumpa dengannya di salah satu jalan kota Madinah, sedangkan waktu ia dalam keadaan junub. Maka ia pun menyelinap pergi dari Rasulullah lalu mandi, kemudian datang kembali. Ditanyakanlah oleh Nabi saw.; ke mana ia tadi, yang jawabnya bahwa ia datang sedang dalam keadaan junub dan tak hendak menemaninya dalam keadaan tidak suci itu. Maka bersabdalah Rasulullah saw.:
"Maha Suci Allah, orang Mukmin itu tak mungkin najis. " (H.R. Jama'ah)
Jalan mengambil hadits ini sebagai alasan ialah karena di sana dinyatakan bahwa orang Mukmin itu tak mungkin najis. Maka tak ada alasan menyatakan bahwa air itu kehilangan kesuciannya semata karena bersentuhan, karena itu hanyalah bertemunya barang yang suci dengan yang suci pula hingga tiada membawa pengaruh apa-apa.
Berkata Ibnul Mundzir: "Diriwayatkan dari Hasan, 'Ali, Ibnu Umar, Abu Umamah, 'Atha', Makhul dan Nakha'i bahwa mereka berpendapat tentang orang yang lupa menyapu kepalanya lalu mendapatkan air di janggutnya: Cukup bila ia menyapu dengan air itu. Ini menunjukkan bahwa air musta'mal itu mensucikan, dan demikianlah pula pendapatku."
Dan madzhab ini adalah salah satu pendapat yang diriwayatkan dari Malik dan Syafi'i, dan menurut Ibnu Hazmin juga merupakan pendapat Sufyan As-Sauri, Abu Tsaur dan semua Ahli Zhahir.
MACAM KETIGA: AIR YANG BERCAMPUR DENGAN BARANG YANG SUCI
Misalnya dengan sabun, kiambang, tepung dan lain,lain yang biasanya terpisah dari air.
Hukumnya tetap mensucikan selama kemutlakannya masih terpelihara. Jika sudah tidak, hingga ia tak dapat lagi dikatakan air mutlak, maka hukumnya ialah suci pada dirinya, tidak mensucikan bagi lainnya.
Diterima dari Ummu `Athiyah, katanya
"Telah masuk ke ruangan kami Rasulullah saw. ketika wafat puterinya, Zainab, lalu katanya: "Mandikanlah ia tiga atau lima kali atau lebih banyak lagi jika kalian mau, dengan air dan daun bidara, dan campurlah yang penghabisan dengan kapur barus atau sedikit daripadanya. Jika telah selesai beritahukanlah padaku. "
Maka setelah selesai, kami sampaikanlah kepada Nabi. Diberikannyalah kepado kami kainnya serta katanya:
"Balutkanlah pada rambutnya: " Maksudnya kainnya itu. (H.R. Jama'ah)
Sedang mayat tak boleh dimandikan kecuali dengan air yang sah untuk mensucikan orang yang hidup.
Dan menurut riwayat Ahmad, Nasa'i dan Ibnu Khuzaimah dari hadits Ummu Hani', bahwa Nabi saw. mandi bersama Maimunah dari sebuah bejana, yaitu sebuah pasu yang di dalamnya ada sisa tepung.
Jadi di dalam kedua hadits terdapat percampuran, hanya tidak sampai demikian rupa yang menyebabkannya tak dapat lagi disebut air mutlak.
MACAM KEEMPAT: AIR YANG BERNAJIS
Pada macam air ini terdapat dua keadaan:
Pertama: bila najis itu merobah salah satu di antara rasa, warna atau baunya.
Dalam keadaan ini para ulama sepakat bahwa air itu tidak dapat dipakai untuk-bersuci sebagai disampaikan oleh Ibnul Mundzir dan Ibnul Mulqin.
Kedua: bila air tetap dalam keadaan mutlak, dengan arti salah satu diantara sifatnya yang tiga tadi tidak berobah. Hukumnya ia adalah suci dan mensucikan, biar sedikit atau banyak.
Alasannya ialah hadits Abu Hurairah r.a. katanya:
"Seorang badui berdiri lalu kencing di masjid. Orang-orang pun sama berdiri untuk menangkapnya. Maka bersabdalah Nabi saw.
"Biarlah dia, hanya tuangkanlah pada kencingnya setimba atau seember air! Kamu dibangkitkan adalah untuk memberi keentengan, bukan untuk menyukarkan. " (Hr. Jama`ah kecuali Muslim)
Juga hadits Abu Said al-Khudri r.a. katanya
"Dikatakan orang :
Ya Rasulullah, bolehkah kita berwudhuk dari telaga Budha`ah?
Maka bersabdalah Nabi saw.:
"Air itu suci lagi mensucikan, tak satu pun yang akan menajisinya. " (H.r. Ahmad, Syafiei, Abu Daud, Nasa'i dan Turmudzi).
Turmudzi mengatakan hadits ini hasan, sedang Ahmad berkata "Hadits telaga Budha `ah adalah shahih. " Hadits ini disahkan pula oleh Yahya bin Main dan Abu Muhammad bin Hazmin.
Telaga Budha'ah ialah telaga di Madinah. Berkata Abu Daud: "Saya dengar Qutaibah Bin Said berkata:
Saya tanyakan kepada penjaga telaga Budha'ah berapa dalamnya.
Jawabnya: Sebanyak-banyaknya air ialah setinggi pinggang.
Saya tanyakan pula: "Bila di waktu kurang?" "Di bawah aurat" ujarnya. "Dan saya ukur sendiri telaga Budha`ah itu dengan kainku yang kubentangkan di atasnya lalu says hastai, maka ternyata lebarnya 6 hasta. Dan kepada orang yang telah membukakan bagiku pintu kebun dan membawaku ke dalam, saya tanyakan apakah bangunannya pernah dirombak, jawabnya: Tidak. Dan dalam sumur itu kelihatan air yang telah berobah warnanya."
Ini adalah pula pendapat dari Ibnu Abbas, Abu Hurairah, Hasan Basri, Ibnul Musaiyab, `Ikrimah, Ibnu Abi Laila, Tsauri, Daud Azh-Zahiri, Nakha'i, Malik dan lain-lain. Gazzali berkata :
"Saya berharap kiranya madzhab Syafi'i mengenai air, akan sama dengan madzhab Malik."
Adapun hadits Abdullah bin Umar r.a. bahwa Nabi saw.,bersabda :
"Jika air sampai dua kulah, maka ia tidaklah mengandung najis. "(H.r. Yang Berlima), maka ia adalah mudhtharib, artinya tidak keruan, baik sanad maupun matannya.
Berkata Ibnu `Abdil Barr di dalam At-Tahmid.
"Pendirian Syafi`i mengenai hadits dua kulah, adalah madzhab yang lemah dari segi penyelidikan, dan tidak berdasar dari segi alasan."
No comments:
Post a Comment