Tuesday, January 18, 2011

LUAHAN HATI SEORANG AYAH...

Anakku sayang,
Maafkan ayah, terpaksa luahkan perasaan ini pada rentetan tinta, bertemankan pena peneman ayah kala malam yang dingin ini.
Masih ayah ingat, tika kau masih kecil ayah selalu menemanimu sehingga kau tertidur. Tika itu, dirimu sungguh lincah anakku. Wajahmu yang montel dan gebu selalu mengingatkanku tentang dirimu sungguhpun tika itu ayah sibuk bekerja.

Keletahmu menghilangkan penatku,
Ketawamu menggugurkan keletihanku,
Riak wajahmu menenangkan ayah...

Tapi, itu semuanya berbelas tahun yang lalu,
Kerana kini yang berada di hadapan mata ayah adalah seorang gadis yang lembut wajahnya dan masih lagi menenangkan hati ayah...
Itulah dirimu anakku...

Anakku permata hati ayah,
Maafkan ayah buat kau tidur dalam basahan air matamu.
Bukan niat ayah untuk mengguris hati dan perasaanmu saat ini. Kemahuanmu telah banyak ayah turuti, kau pun tahu bukan dirimu ditatang bagai menatang minyak yang penuh. Abang-abangmu dan semuanya amat menyayangi dirimu selamanya.

Anakku,
Maafkan ayah kerana bukan niatku untuk menghalang impian dan cita-citamu yang ayah tahu melangit luas. Ayah sungguh bangga kerana punyai seorang anak sepertimu, punyai misi dan visi yang jelas serta kau pula menjadi contoh pada sahabatmu yang lain.

Kau tahu bukan, pada usiamu kini yang usai 20-an. Kini kau bebas memilih haluan hidupmu sendiri. Tapi sungguh ayah takut. Ayah takut pada diri ayah sendiri tidak dapat menyempurnakan hidup ayah sebagai seorang ayah yang baik...Anakku sayang, maafkan ayahmu ini.

Anakku,
Pencapaianmu selama ini amat ayah kagumi. Kau bebas memilih panduan arah hidupmu sendiri. Di sini, ayah bersyukur dan berbangga padamu kerana hanya yang terbaik kau pilih sebagai pemandu arah menjadikan akal fikiranmu lebih matang dari peribadi sebenarmu sayang...

Sehingga kini, keletahanmu yang manja dan menyejukkan hati ayah pasti akan ayah rindui selalu...
Ayah akan merindui saat kau selalu bergaduh dengan adik-adikmu di dalam bilik sebelum tidurmu,
Ayah akan merindui saat kau merenget manja terkena usikan ayah,
Ayah pastinya juga merindui saat dirimu menangis dan merajuk saat permintaanmu tidak dapat ayah penuhi...
Semunya ini hanya bakal menjadi kenangan bersama mungkin sehingga ayah telah tua keseorangan menerjah arus duniawi.

Anakku,
Telah ayah cuba untuk menjadi seorang ayah yang terbaik dalam hidupmu,
Telah ayah cuba untuk menjadi pemandu peribadi sulitmu tika kamu sesat,
Telah ayah cuba untuk menjadi badut terhormat agar dirimu senantiasa dipenuhi oleh riang dan tawa,
Telah ayah cuba untuk menjadi Hakim yang seadil-adilnya mengadili dirimu dan anak-anak ayah yang lain,
Telah ayah cuba untuk menjadi Doktor terbaik merawat jiwamu yang terluka dan menjadi jururawat terhebat yang sentiasa memastikan rehatmu terpelihara,
Telah ayah cuba untuk menjadi Chef yang terhebat memastikan makanmu terjaga,
Dan telah ayah cuba untuk menjadi HERO paling macho pernah kamu ada agar tiada 'hero' lain dalam hatimu...
Semuanya telah ayah lakukan hanyalah semata menenangkan hatimu...

Tapi sayangku, anak ayah...
Kini ayah sedar bahawa 'bunga' indah yang ayah pelihara sebaiknya di dalam kebun ayah sudah dipindakan ke tempat persuntingan tanpa ayah sedari.
Amat berat hati ayah untuk melepaskan dirimu pergi anakku.
Tapi, perjuanganmu melintasi onak dan duri sepanjang hidup ini telah ayah bekalkan ke dalam jiwamu.
Pergilah berjuang anakku, telah ayah sambut 'suntingan' perjuangan yang telah menyuntingmu dari hidup ayah,
Kini, dirimu telah menjadi sebahagian dalam masyarakat...
Ayahmu kini merestui perkongsian 'kasih' yang telah tercipta antara dirimu dan mereka,

Walaupun kini, dirimu semakin jauh dari ayah dan masamu bersama ayah telah banyak dicuri oleh mereka, buat ayah semakin bangga...
Tak mengapalah anakku,
Sungguh begitu, dirimu tetap ayah ingati dalam setiap saat doa ayah ke hadrat Illahi...

'Sujud syukur padamu Tuhan, jadikan anakku yang membaca tinta ini seorang anak yang solehah, tempatkan dia dalam kalangan serikandi-serikandi-Mu yang senantiasa mengingati-Mu setiap saat dan ketika. Berikanlah anakku ini kekuatan menempuh kehidupan ini sebagai pengembara yang sentiasa dahagakan restu dan kasih-sayang dari-Mu yang Maha Esa. Kau tunjukkan dia jalan yang lurus iaitu jalan yang sentiasa menghalanya menuju KEJAYAAN, hamba-Mu ini tahu Ya Rabb, anakku itu terlalu menginginkan kejayaan sebagaimana hamba-hamba lain yang telah Engkau pilih. Berikanlah dia sesuatu yang sentisa menjadikannya seorang hamba-Mu yang gembira...'

Andai keputusanku ini mengembirakan hati anakku, maka aku redhai pemergiannya menuju puncak kejayaan dan kemenangan...

'SELAMAT BERJUANG SAYANGKU'

~Ikhlas dari Hati Ayah~
AKU INGIN ANDAI ILMU INI TERSEBAR TANPA DIKETAHUI SIAPA PEMILIKNYA....-LIA-

No comments:

Post a Comment


Followers