Sampai suatu masa ‘kehilangan’ pasti dirasai.
Keperitan bukan permainan untuk memendam rasa.
Tangisan bukan juadah meratap hakikat kehilangan.
Air mata bukan tumpahan indah yang perlu dirimu zahirkan.
Apatah lagi ratapan yang dusta yang perlu dirimu jauhkan…
Kau tahu tika saat ini waktumu bersamanya telah cukup Allah tentukan,
Kerana DIA Maha Mengetahui bahawa ‘kehilangan’ itu membuatkan dirimu dan dirinya bahagia
DIA rindu untuk bersama insan yang kau sayangi sewaktu di dunia
DIA juga rindu untuk bermain dengan insan yang kau tatapkan sebagai tempat bermanja
DIA cemburu kerana kau terlalu ikhlas menyayangi makhluknya itu
Ketahuilah dirimu telah terdidik penuh terjaga dalam jagaannya
Kerana sampai waktunya itu amanahnya telah terlaksana
Maka dirinya perlu pergi untuk aman dan gembira bersama Penciptanya…
Kerana air matamu tidak akan mengembalikan dia ke hidup realiti
Kerana kesedihan duka di hatimu tidak memaksa dia untuk kembali
Kerana kau teringatkan kenangan lalu bersamanya tidak mungkin dia akan wujud di depanmu
Kerana semuanya adalah hakikat yang penuh bahagia
Dia kini tenang bersama Yang Maha Esa…
Aku tahu kau dikagumi kerana ketabahanmu
Kau diuji kerana redupnya hatimu melingkari indahnya iman
Kau sempurna sebagai hamba yang patuh pada Penciptanya
Keredhaanmu pada perjuangan hidup bukan pada pangkal tapi pada puncaknya
Ketaqwaan wajah terzahir dalam senyuman hambar
Tapi ikhlasnya pada hati kecilmu
Itulah dirimu…
Kerana kau Allah takdirkan sebagai sahabatku,
Doaku tidak putus menadah ke langit agar kau sentiasa dikuatkan,
Agar dirimu gagah membina benteng pertahanan berlandas iman dan ikhsan
Kau si wardah berpurdah yang malumu adalah semalu
Durimu nan tajam mampu menusuk ujian yang bertandang
Kerana itu benteng pertahanan si sutera halus tenunan sang bidadari
Pingitan penghuni syurga yang dikasihi…
Bukankah rentetan hidup ini penuh duri ?
Setiap insan diuji dengan keperitan dan perjuangan harga diri
Meninggikan martabat kita setanggi pandangan anbiya’ dan para wali
Lupakah kita tentang hebatnya ujian yang mereka tempuhi ?
Kerana Allah ingin roh mereka tersenyum bahagia walau jasad menanggung seksa...
Tidah terujikah dirimu menyahut ujian yang tidak pantas untuk dirimu keluhkan ?
Sahabatku…
Kerana Allah terlalu menyayangimu
Dan kerana itu kau perlu tersenyum
Kau perlu gembira
Kau penuhi hidupmu dengan penuh ceria
Aku yakin, dia pasti tersenyum bahagia di sana…
Maafkan aku mengingkap tirai dari hatimu
Izinkan aku untuk memandang hatimu pada sudut yang paling indah untuk ku ungkap ;
Genggaman jemarimu adalah kekuatanmu
Ketabahan hatimu adalah anugerah Allah yang berbisa dimiliki sesiapa
Basah lidahmu menitip doa adalah kata-kata yang dirindui-NYA
Penglihatanmu tidak terhad melihat kejadian Allah yang sentiasa menguji manusia
Tadahan telingamu adalah alat untuk mendengar keluhan insan lain yang lebih menderita
Acuan bibirmu biarkan basah memuji Yang Maha Berkuasa:
“ SESUNGGUHNYA HIDUP DAN MATIKU HANYA UNTUK ALLAH SWT ”
Insyaallah, dengan izin-Nya hidungmu terhidu bauan syurga
Idaman pemilik hati-hati Si Jannah yang zuhud penuh rela…
Sahabat-sahabatku,
Kerana ilham ini hadir dari Allah Yang Maha Bijaksana mengatur rentetan hidup,
Sesungguhnya Dia Yang Maha Mengetahui segala tersembunyi,
Selayaknya Dia Yang Maha Berkuasa atas hidup dan mati,
Sepantasnya Dia Yang Maha Mengurnia anugerah untuk kita,
Seadilnya Dia Yang Maha Adil menghakimi diri ini,
Sebenarnya, DIA YANG MAHA PENGASIH LAGI MAHA PENYAYANG yang memberi dugaan dan minta kita berkasih sayang mengadu kepada-Nya…
Akhiri keindahan ilham dengan penuh harapan :
KERANA ‘HILANG’ ITU INDAH, ‘PERGI’ ITU SUATU KENYATAAN, KEHILANGAN & KEPERGIAN ITU HAKIKAT HIDUP YANG CUKUP INDAH !
Nukilan|Nurlianna Muhammad
31 Oktober 2011@11am
Al-Fatihah untuk allahyarham ayahhanda Nurfathin Azwa yang telah kembali ke rahmatullah, semoga ditempatkan dalam kalangan hambaNya yang soleh…amin
No comments:
Post a Comment