Aug 26, '06 5:13 AM
for everyone
APA ERTINYA SAYA MENGANUT ISLAM
===============================
2.2 SAYA MESTILAH HIDUP UNTUK ISLAM
Penggabungan diri saya ke dalam agama Islam mewajibkan supaya saya hidup menurut cara Islam dalam bidang-bidang akidah, ibadah dan akhlak, mewajibkan saya hidup menurut cara Islam dalam diri, rumah dan keluarga saya. Penggabungan diri saya ke dalam Islam juga adalah membawa erti bahawa saya diwajibkan supaya hidup untuk Islam, mewajibkan saya mengarahkan seluruh hidup saya untuk Islam, mewajibkan supaya saya menyerahkan segala keupayaan dan kemampuan saya untuk sesuatu yang dapat mengagungkan kesultanan
Islam dan dapat meningkatkan pembinaannya. Dalam kehidupan dunia ini manusia terbahagi kepada tiga golongan.
Di golongan manakah saya berada sekarang ?
Golongan yang hidup untuk Dunia
-------------------------------
Mereka ini ialah golongan yang berfahaman kebendaan baik dari
segi akidah dan realiti hidup mereka. Golongan ini telah digelar
oleh al-Quran dengan golongan 'Dahriun'. Allah telah menyebutkan glongan ini dalam firmannya ;
"Dan mereka mengatakan: "Hidup hanyalah kehidupan kita di dunia sahaja dan kita tidak sekali-kali akan dibangkitkan."
- ( Al-An'aam : 29 )
Firman Allah lagi ;
"Dan mereka berkata: "Kehidupan ini tidak lain hanyalah kehidupan di dunia sahaja, kita mati dan kita hidup dan tidak ada yang membinasakan kita selain masa, dan mereka tidak mempunyai pengetahuan tentang itu, mereka tidak lain hanyalah menduga- duga sahaja."
- ( Al-Jaathiyah : 24 )
Orang yang berfaham komunis hari ini dan golongan-golongan yang mengikut jejak langkah mereka yang terdiri dari golongan-golongan sekular dan faham wujudi adalah lahir dan berpunca dari keyakinan di atas. Sewaktu memberi komentar terhadap seorang ahli falsafah yang mengatakan: "Bahawa alam ini bukanlah dicipta oleh mana-mana Tuhan atau manusia, alam ini telah wujud sebelum ini dan akan menjadi obor hidup yang abadi, obor ini akan bernyala dan padam menurut undang-undang tertentu... ", Lenin telah membuat komentar dengan katanya: "Itulah satu penerangan yang menarik tentang prinsip metrial dialiktika."
Apabila manusia mengingkari wujudnya hidup setelah kehidupan
dunia ini, di mana segala amal yang dilakukan oleh manusia akan
dihisab, maka pada saat itu kehidupan dunia ini akan menjadi
matlamatnya yang paling besar, menjadi kemuncak bagi segala ilmu- nya, beliau hidup untuk dunia, beliau akan mengejarnya malah beliau akan karam dalam nafsu dan kelazatan dunia tanpa batas. Golongan Yang Sesat Antara Dunia dan Akhirat
--------------------------------------------
Golongan ini adalah terdiri daripada kebanyakan manusia yang
akidahnya sentiasa bergelora dan sesat dalam menjalani hidup
dunia sedang mereka menyangka yang mereka masih melakukan sesuatu yang baik. Sekali pun golongan ini beriman kepada Allah dan hari akhirat tetapi dan keyakinan mereka terhadap Allah dan akhirat hanyalah merupakan gambaran kulit sahaja. Akidah dan keyakinan mereka terpisah terus dari realiti hidup mereka yang amali. Pada hakikatnya golongan ini termasuk ke dalam golongan orang yang berfahaman kebendaan sekali pun pada lahirnya mereka melakukan ibadat-ibadat rohani. Apa yang dikatakan oleh penyair di bawah ini adalah tepat untuk golongan ini.
"Kita menampal dunia kita dengan mengoyakkan agama kita, tapi
tidak satu pun yang kekal baik dunia atau agama kita."
Dalam risalahnya yang bertajuk: Ke mana Manusia Kita seru, Ustaz Hasan al-Bana telah mengatakan: "Al-Quran telah menentukan matlamat hidup dan tujuan-tujuan manusia hidup. Al-Quran telah menerangkan satu kaum yang tujuan hidup mereka hanyalah untuk makan dan bermewah-mewah. Dalam hubungan ini Allah berfirman ;
"Dan orang-orang kafir itu bersenang-senang (di dunia) dan
mereka makan seperti binatang-binatang makan dan neraka adalah tempat tinggal mereka."
- ( Muhammad : 12 )
Al-Quran menerangkan pula satu kaum lain yang tujuan hidup mereka hanyalah perhiasan dan perabut dunia yang akan fana. Firman Allah ; "Dijadikan indah pada pandangan manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternakan dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup dunia dan di sisi Allah tempat kembali yang baik."
- ( Ali-Imran : 14 )
Al-Quran menerangkan pula golongan lain yang peranan mereka dalam hidup hanyalah untuk menyalakan fitnah dan menyuburkan kejahatan serta kebinasaan. Mereka inilah yang disifatkan Allah dalam firmannya ;
"Di antara manusia itu ada orang yang ucapannya tentang kehidupan dunia menarik hati mu dan dipersaksikannya kepada Allah (atas kebenaran) isi hatinya, pada hal ia adalah penentang yang paling keras."
- ( Al-Baqarah :104-105 )
Inilah sebahagian dari tujuan-tujuan hidup manusia di dunia ini
yang mana Allah telah membersihkan dan menjauhkan orang-orang mukmin darinya, mewajibkan kepada mereka tugas yang lebih tinggi, meletakkan di atas pundak mereka tanggungjawab yang lebih agung, tanggungjawab untuk menunjukkan jalan yang benar kepada manusia, menunjukkan arah kebaikan kepada manusia sejagat dengan sinar Islam.
Golongan Yang Menganggap Dunia Sebagai Ladang Akhirat
-----------------------------------------------------
Mereka ialah orang-orang Mukmin yang sebenarnya. Mereka mengetahui hakikat hidup yang sebenarnya. Mereka juga mengetahui harga dunia berbanding dengan akhirat. Firman Allah ;
"Dan tiadalah kehidupan dunia itu selain dari main-main dan senda gurau sahaja dan sesungguhnya kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Tidakkah kamu memahaminya."
- ( Al-An'aam : 32 )
Kehidupan dunia tidak dapat melalaikan dan mengganggu mereka daripada melaksanakan tujuan dan matlamat mereka diciptakan
Allah di dunia ini, sebagaimana yang telah dinyatakan dalam
firman Allah ;
"Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia kecuali supaya mereka mengabdikan diri kepada Ku."
- ( Adz-Dzaariyaat : 56 )
Orang-orang yang benar-benar menganut agama Islam menganggap dunia ini sebagai satu medan perlumbaan untuk melakukan taat kepada Allah dan mencapai keredaanNya. Keseluruh hidup mereka, baik ilmu, perniagaan, harta, rumahtangga, masa dan fikiran mereka kesemuanya digunakan untuk mencapai matlamat tersebut.
Sebaliknya golongan yang berfaham kebendaan menggunakan perkara- perkara tersebut untuk menunaikan tuntutan hawa nafsu dan syahwat.
Apa yang dinyatakan di atas dapat dibuktikan oleh sebahagian
besar dari kemajuan-lemajuan yang telah dicapai oleh tamadun
moden ini, kemajuan yang telah memecahkan kepala pakar-pakar mereka. Matlamat bagi kemajuan ini hanyalah untuk menjamin
sebanyak yang mungkin kerehatan jasad manusia tetapi tidak
bertujuan untuk membangun alam sejagat ini supaya dapat memberi- kan keamanan dan kesejahteraan kepada manusia. Alat-alat rekaan manusia seperti mobil, kapal terbang, alat pencuci pakaian, peti sejuk, alat pengering, alat-alat perahan, alat-alat pengilat, pembersih, perhiasan, perabut, pakaian, alat-alat hiburan, malah ratusan dan ribuan alat ciptaan kilang-kilang perusahaan di dunia ini kesemuanya hanyalah bertujuan untuk memberikan kenikmatan dan kerehatan lahiriah kepada manusia.
Islam tidak menentang penyelidikan, penciptaan benda-benda baru dan pengeluaran yang diusahakan oleh kilang-kilang perusahaan, tetapi mestilah dalam batas kadar yang tidak membawa bencana kepada manusia dan mestilah dengan cara yang mendatangkan kebaikan kepada manusia dan masyarakat secara umum. Dalam segala hal, mestilah dijaga penggunaannya supaya sesuai dan tidak bercanggah dengan nilai-nilai syarak dan akhlak.
Dalam risalahnya yang bertajuk: Kemana Manusia Kita Seru, Ustaz Hasan al-Bana telah menyentuh permasalahan ini dengan katanya ;
"Saudara yang dimuliakan, demi Tuhan, adakah umat Islam telah
memahami pengertian ini dari kitab Allah, Tuhan mereka. Dengan
memahami pengertian ini jiwa mereka menjadi tinggi, semangat
mereka semakin menjulang, mereka bebas dari kongkongan hawa nafsu dan syahwat. Mereka akan menjauhi perkara yang sia-sia, tujuan-tujuan yang rendah dan hina. Mereka akan membulatkan haluan mereka kepada Allah yang menciptakan langit dan bumi.
Mereka akan bersifat hanif (suci), menegakkan kalimah Allah,
berjihad pada jalan Allah, menyampaikan agama Allah dan
mempertahankannya atau sebaliknya mereka akan menjadi tawanan kepada syahwat, menjadi hamba abdi kepada hawa nafsu dan kerakusan. Seluruh impian mereka hanyalah makanan yang enak- enak dan lazat cita rasa, kenderaan yang besar, perhiasan yang indah, perempuan jelita yang empuk, lahiriah yang palsu dan gelaran-gelaran yang kosong."
Mereka senang dengan khayalan dan angan-angan
Tapi, Teruji dengan pemberian. Mereka mendakwa mengharung dugaan
Tapi, Mereka belum menempuh ujian.
Benarlah Rasulullah s.a.w. yang telah bersabda ;
"Celakalah (nasib) abdi dinar, celakalah (nasib) abdi dirham, celakalah (nasib) abdi qutaifah (sejenis matawang)." akan datang: Bagaimana Cara Saya Hidup untuk Islam
No comments:
Post a Comment