Thursday, July 29, 2010

Wirid selepas qada solat

Aug 27, '06 12:21 AM
for everyone
Setiap kali selepas sembahyang fardu kita digalakkan berwirid. Soalannya yang mana wajib dikerjakan terlebih dahulu sama ada qada sembahyang fardu atau wirid?


Berwirid selepas solat fardu termasuk dalam kategori zikrullah atau mengingati Allah digalakkan oleh Islam. Ia satu sifat ulul albab atau orang yang berakal. Allah berfirman maksudnya: “(Iaitu) orang yang menyebut dan mengingati Allah ketika mereka berdiri, duduk dan berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan mengenai kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Wahai Tuhan kami! Tidaklah engkau menjadikan semuanya ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.” – (Surah Ali Imran: 191).

Dan dalam sebuah hadis disebutkan bahawa bagi segala sesuatu ada pencuci untuk membersihkan dan menghilangkan kekotorannya sedangkan pencuci (pembersih) hati ialah zikrullah.

Sebaliknya qada solat fardu adalah wajib kerana ia bermakna melakukan solat fardu selepas waktunya. Ia termasuk satu daripada tiga kategori pelaksanaan kewajipan agama.

Bakinya adalah ‘al-ada’ (tunai) iaitu pelaksanaan kewajipan dalam waktunya dan ‘al-i’adah (ulangan) iaitu mengulangi pelaksanaan kewajipan dalam waktunya.

Di antara dalil yang mewajibkan qada solat adalah hadis yang bermaksud “maka hutang Allah adalah lebih berhak dijelaskan.” (HR al-Bukhari dan Nasa’i) dalam al-Fiqh al-Islami jilid 2, halaman 145 disebutkan bahawa sesiapa yang diwajibkan solat tetapi terluput waktu yang dikhaskan untuknya maka hendaklah segera mengqadanya.

Dia berdosa jika meninggalkan kewajipannya dengan sengaja dan dia wajib melakukan qada kerana Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Apabila seorang daripada kamu tertidur dengan tidak solat atau lalai hendaklah dia melakukan solatnya apabila teringat kerana Allah berfirman maksudnya: “...dan dirikanlah solat untuk mengingati Dia.” – (Surah Taha: 14)

Dalam satu kejadian, Rasulullah mengqada solat sunat ba’da Zuhur pada waktu solat Asar kerana kesibukan tugas baginda pada hari itu. Seandainya yang sunat pun baginda mengqadanya, bagaimana dengan yang wajib.

Ini dapat kita perhatikan dalam solat baginda ketika perang Khandak di mana baginda melakukan solat Zuhur, Asar dan Maghrib dalam waktu Isyak.

Melewatkan solat tanpa sebab adalah suatu maksiat yang besar yang tidak boleh hilang dosanya dengan hanya mengqadanya bahkan ia mesti disertakan dengan bertaubat dan menurut sesetengah ulama dengan menunaikan haji selepas mengqadanya.

Sebaliknya, melewatkan solat dari waktunya kerana ada sebab yang dibenarkan syarat seperti takut kepada musuh, kebimbangan seorang bidan mengenai kematian anak yang dilahirkan adalah tidak berdosa.

Jadi, daripada huraian di atas dapatlah disimpulkan bahawa qada solat boleh dilakukan terlebih dahulu dari wirid selepas solat fardu.

Selepas mengqada solatnya barulah dia wirid seperti biasa. Bagaimanapun, dia juga boleh wirid dahulu kemudian qada solat kerana ia tidak menjejaskan qada solat yang boleh dilakukan pada bila-bila masa.

Akan tetapi, daripada sudut hukum wajibnya, qada solat mesti didahulukan kerana hukumnya wajib sedangkan wirid selepas solat fardu hukumnya sunat. Sebagai kaedah, yang wajib mesti didahulukan dari yang sunat. Wallahu a’lam.

No comments:

Post a Comment


Followers