Thursday, July 29, 2010

Berhati² Memberus GiGi d BuLan ramadhan

Oct 3, '06 11:17 AM
for everyone
SOALAN: Apakah hukumnya memberus gigi ketika berpuasa, tambahan pula apabila menggunakan ubat gigi?

JAWAPAN

Memberus gigi sebelum gelincir matahari adalah sunat sebagaimana kebiasaannya. Adapun selepas gelincir matahari, fuqaha tidak bersependapat. Sesetengahnya mengatakan bahawa makruh, dan mereka berhujah dengan hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud: Demi Tuhanku, mulut yang berubah baunya ketika berpuasa itu lebih wangi di sisi Allah daripada bau kasturi.

Mereka berpendapat tidak elok menghapuskan bau kasturi ini. Makruh menghilangkan bau harum ini selama mana haruman ini diterima dan disukai Allah.

Oleh itu ia hendaklah dikekalkannya. Haruman ini samalah dengan darah luka yang terlekat pada tubuh dan pakaian orang yang mati syahid. Sabda Rasulullah s.a.w. berkenaan orang yang mati syahid: Selimutilah mereka dengan darah dan pakaian mereka.. Mereka akan dibangkitkan nanti dengan darah itu dan baunya seperti bau kasturi.

Oleh yang demikian, tidak boleh dimandikan jenazah mereka dan jangan dihilangkan kesan darah yang melekat pada pakaian mereka. Hukum bau mulut itu dikiaskan dengan hukum orang yang mati syahid ini.

Yang sahihnya, ia tidak boleh dikiaskan dengan orang yang mati syahid kerana mereka mempunyai kedudukan yang tertentu. Sesetengah sahabat meriwayatkan: “Aku melihat Nabi bersugi sedangkan baginda berpuasa.”

Bersugi sunat dilakukan pada tiap-tiap permulaan siang dan penghujungnya, juga sebelum berpuasa dan selepasnya. Hukumnya sunat sebagaimana sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: Bersugi itu membersihkan mulut dan diredai Allah. (An-Nasa’i)

Tiada perbezaan antara berpuasa dan tidak berpuasa. Adapun ubat gigi mestilah digunakan dengan berhati-hati agar tidak tertelan. Jika tertelan, kebanyakan ulama berpendapat batal puasanya. Oleh itu, seelok-eloknya tidak menggunakan ubat gigi, kerana ia boleh digunakan selepas berbuka. Jika ingin juga menggunakannya, hendaklah berhati-hati dan beringat. Andainya ubat itu termasuk juga ke dalam perut dengan tidak sengaja, ia dimaafkan.

Firman Allah: Dan tidak ada dosa bagimu terhadap apa yang kamu tersilap, tetapi (yang ada dosanya) ialah apa yang disengajakan oleh hatimu. (al-Ahzab: 5)

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: Sesungguhnya Allah mengampuni dosa umatku yang tersilap, terlupa atau yang dipaksa melakukan sesuatu.

No comments:

Post a Comment


Followers